Wednesday, May 13, 2020

Kisah Pahit Getir Saudara Muslim

Hari ini tanggal 26 Ramadhan 1429 Hijrah bersamaan 26 September 2009. Perjalananku ke tempat kerja di USM tidak seperti biasa kerana aku dan isteri bercadang untuk singgah di Rumah Transit Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam untuk membuat sedikit penyelidikan. Alhamdulillah, ketibaan kami disambut mesra oleh kakitangan di sana, khususnya Puan Aishah Lee (bukan nama sebenar) yang sudi untuk ditemubual. Perbualan awal dengan beliau lebih tertumpu kepada perjalanan dan aktiviti saudara baru di sana dan rutin beliau.




Di pertengahan perbualan, beliau mula menceritakan perihal pengalaman beliau memeluk Islam. Beliau memeluk Islam ketika berumur 19 tahun. Namun demikian, peristiwa yang membuatkan beliau terpanggil untuk mengenali Islam dengan lebih dekat ialah peristiwa mimpi yang dialami beliau lebih awal dari itu. Beliau bermimpi berkali-kali mendengar kalimah syahadah semenjak dari Tingkatan Satu lagi. Mimpi pertama menurut beliau ialah mengenai suasana di mana beliau dikejar oleh sekumpulan orang jahat. Beliau berlari ke satu arah dan di penghujungnya adalah jalan mati. Beliau tidak dapat menyelamatkan diri lagi, namun secara tiba-tiba beliau ternampak sekumpulan manusia yang sedang beribadah (bersolat) dan mendengar satu suara yang cukup jelas memintanya mengucap kalimah Syahadah. Suara itu menyatakan bahawa beliau akan selamat sekiranya mengucap Kalimah Syahadah dan turut bersama kumpulan ahli ibadah itu.




Mimpi kedua beliau pula ialah di mana beliau berada dalam satu suasana terdapat manusia di kiri kanan beliau. Di sebelah kanan beliau ialah kumpulan yang beroleh nikmat dan ketenangan, manakala di sebelah kirinya ialah golongan yang terseksa. Dalam masa yang sama beliau mendengar ajakan supaya beliau mengucapkan Syahadah dan beroleh tempat bersama-sama golongan di kanan beliau. Ajakan untuk mengungkap kalimah Syahadah cukup jelas sehingga beliau mampu menuturkannya setelah terjaga dari mimpi.




Kisah mimpi beliau ini dipendam dalam hati pada mula-mulanya. Namun gelojak perasaan ingin tahu berkenaan kalimah Syahadah itu semakin hari semakin kuat, lalu beliau membuat keputusan untuk bertanya rakan beliau. Beliau meminta rakan Muslim beliau untuk mengungkapkan kalimah Syahadah. Dan setelah mendengarnya beliau mengatakan: "Aku pernah dengan ungkapan ini berkali-kali dalam mimpi aku." Bermula di sini, pencarian beliau kepada sebuah kebenaran bermula. Tatkala rakan Tionghuanya menghabiskan masa bermain, beliau pergi ke kelas agama Islam untuk mendengar. Beliau gagal mendapat keizinan dari guru agama tersebut. Sebanyak tujuh kali beliau meminta izin. Barangkali katanya: "Cikgu itu takutkan Guru Besar, kerana bosnya itu beragama Kristian. Akhirnya setelah bersungguh-bersungguh meminta izin mahu mendengar kelas agama itu walaupun terpaksa menyorok di belakang pintu kelas, akhirnya Cikgu agama tersebut akur dengan permintaannya.




Cabaran dan rintangan sebenar menjelma ketika mana beliau secara rasmi menganut agama Islam. Cabaran tersebut berupa tentangan hebat dari bapanya yang beragama Buddha. Semasa beliau menganut Islam secara rasmi beliau ingin merahsiakannya daripada pengetahuan keluarga. Namun semikian, hal itu tidak terjadi. Pagi hari beliau memeluk Islam, ketika pulang dari kerja pada waktu petang, ayahnya telah mengetahui tentang perkara tersebut. Ayahnya naik berang dan melemparkan baju-bajunya dari tingkat 4 penginapannya tanpa segan silu lagi dengan jiran sekeliling. Beliau dijerit-jerit sebagai anak yang tak kenang budi, nak masuk Melayu dan tinggalkan ibu bapa dan sebagainya. Beliau tertanya-tanya kenapa ayahnya jadi begitu. Dengan perasaan tersebut, beliau melangkah kaki naik ke atas dan bertanyakan bapanya. "Apa masalahnya"...Bapanya menjawab: " Apa masalahnya." "Dah masuk Melayu lagi mau tanya apa masalah. Setelah bapanya berleter dan memarahinya, beliau hanya diberi dua pilihan. Pertama, untuk tinggalkan agama Islam dan kedua, keluar dari rumah dan bapanya tidak lagi mengakuinya sebagai anak. Tersentak dan terkejut beliau mendengar kata dua dari ayahnya. Barulah beliau tahu hal yang sebenar kenapa ayahnya marah-marah.


Beliau berada dalam dilema untuk membuat keputusan. Beliau tidak tahu ke mana hendak pergi dan lagipun waktu pada waktu itu semakin menghampiri malam. Beliau juga tidak sanggup murtad setelah memeluk Islam pada pagi hari yang sama. Akhirnya, beliau nekad untuk keluar rumah. Beliau tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk membuat keputusan berani itu malah turut mengungkapkan kata-kata kepada bapanya bahawa beliau bukan masuk Melayu, bahkan dirinya tetap bangsa Cina, anak papa. Hanya yang bertukar ialah agamanya dari Buddha ke Islam. Beliau dari dulu tidak minat dengan agama Buddha.


Sedikit 'flash back' tentang kisah semasa beliau di Tingkatan Satu semasa beliau di bawa oleh ayahnya ke kuil besar di Pulau Pinang dan beliau disuruh meletakkan colok kepada beratus-beratus berhala yang ada, beliau pernah bertanya bapanya. Berhala mana yang paling kuat, gagah dan 'best'. Bapanya membalas dan bertanya kembali best yang macam mana? Jawabnya: Tokong yang kalau saya cakap dia dengar, kalau saya minta dia bagi. Bapanya menjawab: "Bodoh kau, tokong nie mana dia dengar...sudah-sudah pergi letakkan colok tuu." Akhirnya beliau buat keputusan untuk tidak membuat apa yang diminta oleh bapanya dan menyorok di tandas kuil tersebut." Beliau tidak minat untuk melakukan kerja yang sia-sia itu.


Kembali menyambung cerita asal. Setelah membuat keputusan nekad untuk memilih keluar dari rumah bapanya. Beliau mengutip pakaian yang dibuang ayahnya dan memasukkan ke dalam beg. Dalam masa yang sama, beliau terus dihamburkan celaan oleh bapanya sendiri. "Anak tak kenang budi, masuk Melayu, nak buang keluarga dan sebagainya. Malah jiran-jiran sekeliling juga turut memihak ayahnya termasuklah jiran-jiran bangsa Melayu. Barang kali mereka tidak tahu dan tidak usul periksa pokok pangkal masalah yang dihadapinya.


Di fikiran beliau tidak tahu ke mana arah hendak dituju. Beliau terus ke stesyen bas di Butterworth dengan beg pakaian beliau. Beliau masih buntu dan terkejut dengan apa yang menimpanya hasil keputusan beliau memeluk Islam. Beliau telah nekad untuk mempertahankan akidahnya walau pun beliau tahu beliau boleh berpura-pura untuk murtad supaya boleh kekal dan terus tinggal di rumah bapanya. Namun beliau tidak mahu dan tidak sampai hati meninggalkan agama anutan barunya. Agama yang beliau yakin benar, dan Allah yang Esa sebagai Tuhan yang Maha kuasa. Beliau bertawakal sepenuhnya kepada Allah untuk apa yang akan terjadi seterusnya.


Malam semakin pekat dan orang yang tadi kian ramai semakin kurang dan balik satu persatu ke rumah masing-masing. Beliau tidak tahu ke mana destinasi beliau, malah beliau tidak mempunyai wang untuk menaiki bas apatah lagi teksi. Perasaan takut dan bimbang menguasai diri. Apatah lagi pada era tersebut jarang anak dara berada di luar lewat-lewat malam begitu. Beliau hanya bergantung harap dan berdoa kepada Allah moga-moga Allah menemukan beliau dengan seseorang yang mahu meleraikan kekusutan masalah yang sedang dihadapinya.


Selepas menanti, menunggu dan duduk memikirkan kesudahan apa yang dialami, akhirnya beliau didatangi dan dihampiri seorang mamu. Dari kejauhan beliau melihat seorang tua menghampirinya. Perasaan takut menyelinap masuk. Bila dekat sahaja kelibat orang tua itu, beliau terus disergah, ni apa lewat-lewat malam anak dara masih di sini. Ni tak lain mesti lari dari rumah dan dok tunggu jantan ambik hang. Mai sini aku hantaq hang balik. Belum sempat beliau menjelaskan hal sebenar, beliau terus dimarah-marah. Mamu tersebut terus berleter dan bersangka buruk dengan beliau. Pak cik biar saya cakap sebentar. Sebenarnya saya baru awal pagi tadi memeluk Islam dan petangnya dihalau oleh bapa saya keluar dari rumahnya. Ooooo begitu, maafkan pak cik, pak cik bersangka buruk dengan anak. Tak pa, tak pa mai ikut pak cik.


Walau pun menerima pelawaan mamu tersebut, beliau masih berasa takut dan bimbang dengan keselamatannya. Beliau memandang dari hujung kaki sampai ke atas pak cik tersebut. Beliau hanya percaya kepada kopiah yang dipakai oleh mamu tersebut. Disebabkan malam semakin gelap gelita dan tiada arah, beliau menerima pelawaan mamu tersebut.


Dalam perjalanan, mamu bertanya lanjut kepada beliau mengenai peristiwa yang baru dilaluinya. Akhirnya mereka sampai ke rumah mamu tersebut dan rupa-rupanya mamu tersebut adalah imam bagi kampung tersebut dan isterinya pula guru al-Qur'an. Terdetik di hatinya bahawa doa beliau dimakbulkan Allah kerana Allah mengirimkan seseorang untuk menyelamatkan beliau buat sementera di awal usia anutan agama barunya, Islam. Beliau juga rasa lega, kerana dua anak mamu juga adalah perempuan dan tiada anak lelaki.


Tinggallah beliau beberapa ketika di rumah mamu tersebut dan dalam masa yang sama beliau belajar sedikit sebanyak al-Qur'an dari isteri mamu. Dalam masa yang sama beliau mencari pekerjaan untuk menyara diri. Namun bagaikan disangka panas hingga ke petang, namun hujan turun juga pada tengahari. Tidak sampai dua bulan beliau bertumpang teduh di rumah pasangan suami isteri dan keluarga muslim yang prihatin, timbul juga suara-suara sumbang dari segelintir masyarakat kampung yang majoritinya orang Melayu dengan kata-kata yang menghiris hati. Tuduhan mamu bawa balik anak Cina dan sebagainya membuatkan beliau mengambil keputusan untuk tidak terus menyusahkan keluarga mamu.




No comments:

KEMBALI Lama sungguh aku meninggalkan dunia blog ini. Semangat yang hilang entah ke mana. Bersemangat pada mulanya, tapi entah mengapa aku...